PETER F. DRUCKER (Pemikir besar pengurusan )
Baru -baru ini atau lebih tepatnya pada 11 November, 2005, `dunia' kehilangan seorang pemikir besar pengurusan, Peter F. Drucker yang meninggal dunia dalam usia 95 tahun. Beliau meninggalkan seorang isteri, Doris dan empat orang anak. Media-media antarabangsa seperti The Washington Post, Reuters, The Guardian, Bloomberg, Business Week dan Al-Jazeera semasa melaporkan kematian Peter F. Drucker, menyifatkannya sebagai `tokoh pengurusan yang paling berpengaruh di dunia'. Mahaguru pengurusan ini juga dikenali sebagai management philosopher kerana beliau bukan saja membahas hal-hal pengurusan semata-mata tetapi membahas persoalan pengurusan dalam pengertian yang luas yang mencakupi perubahan-perubahan pemikiran dalam realiti dunia hari ini seperti globalisasi, senario ekonomi dunia, kepimpinan politik
Drucker bukan saja seorang profesor pengurusan, lebih dari itu menjadi juruperunding pengurusan lebih daripada 50 tahun kepada 500 organisasi yang mencakupi syarikat-syarikat besar dan kecil, muzium, hospital, universiti, yayasan kebajikan, kerajaan termasuk juga pasukan besbol Yogi Bera di Amerika.
Barangkali Drucker merupakan satu fenomena dalam dunia pengurusan.Drucker merupakan anak kelahiran Austria, pernah bekerja sebagai kerani dan mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang dari Universiti Frankfurt pada tahun 1931. Drucker sebetulnya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pakar pengurusan dan cita-cita asalnya hendak menjadi penulis. Beliau mula menulis ketika berumur 20 tahun dan dalam usia yang cukup muda itu, Drucker telah pun memegang jawatan pengarang kanan sebuah akhbar harian di Frankfurt.
Drucker menulis dalam berbagai bidang seperti ekonomi, politik, falsafah, kesusasteraan, undang-undang bahkan buku pertamanya ialah mengenai politik dalam bahasa Jerman setebal 32 halaman bertajuk Friederich Julius Stahl: Conservative Political Theory and Historical Change. Buku ini menimbulkan kemarahan pemerintah Nazi sehingga Drucker terpaksa melarikan diri ke England pada tahun 1933. Di sanalah, Drucker menulis buku pertamanya dalam bahasa Inggeris bertajuk The End of Economic Man (1937) yang membahaskan kegagalan dan kebangkitan fahaman Fasisme. Dalam buku ini juga, Drucker berhujah tentang perlunya susunan sosial dan ekonomi yang baru.
0 comments:
Post a Comment